Ahad, 30 April 2017

Melaka uji lima import baru

Melaka:
Melaka United menyenaraikan lima import baru untuk menjalani ujian pemilihan bagi membarisi skuad berkenaan apabila jendela perpindahan pemain dibuka, 15 Mei ini.
Pengurus Melaka Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi berkata, pemain yang dimaksudkan ialah pemain kebangsaan Macedonia selain bintang Liga Brazil, Australia dan Argentina.
Katanya, buat masa ini, empat pemain import Ilija Spasojevic (Montenegro), Sergio Aguero (Argentina) Godwin Antwi (Ghana) dan Jeon Woo Young dari Korea Selatan masih bersama pasukan.
Menurutnya, keputusan untuk tidak meneruskan kontrak mereka hanya akan ditentukan jurulatih Eric Williams (gambar) dalam masa terdekat.
“Lima import yang bakal menjalani ujian berkenaan juga akan dinilai sendiri oleh Williams.
“Kami memberi kuasa penuh kepada beliau untuk membawa masuk pemain import. Kami juga tidak akan campur tangan soal mengekalkan pemain untuk pusingan kedua liga,” katanya.
Yusoff berkata, kedudukan Williams di dalam skuad Melaka juga tidak tercabar dan pengurusan tertinggi akan hanya menentukan kontraknya selepas beberapa perlawanan pusingan kedua nanti.
Sementara itu, Williams berkata, beliau akan mencadangkan supaya pemain yang tidak sesuai bersama Melaka, dipinjamkan kepada pasukan lain sepanjang pusingan kedua.
Mengulas perlawanan berdepan PKNS FC yang berkesudahan seri 2-2 malam kelmarin, beliau mengaku kecewa dengan keputusan perlawanan walaupun mereka menguasai sebahagian besar permainan.
Katanya, barisan pertahanan gagal menghalang jaringan pelawat dan faktor itulah yang menafikan peluang mereka untuk muncul pemenang.

Nazri Abu Bakar
sukan@hmetro.com.my
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 April 2017 @ 4:41 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Thorbaek dari ladang...

Melaka United mula bangkit 7 MEI 2017 Pemain JDT Fazly Mazlan terjatuh selepas diasak oleh pemain Melaka Ahmad Khuzaimi pada perlawana...