7 MEI 2017
Pemain JDT Fazly Mazlan terjatuh selepas diasak oleh pemain Melaka Ahmad Khuzaimi pada perlawanan bola sepak Liga Super di Stadium Hang Jebat, malam tadi. - Foto Bernama
SETELAH dibelenggu kemerosotan awal saingan Liga Super, barisan pemain Melaka United (MU) seolah-olah mendapat suntikan semangat baharu memperbaiki mutu persembahan pada perlawanan pertama, pusingan kedua liga Super.
Biarpun hanya berjaya mengutip satu mata hasil keputusan seri 1-1 dengan pasukan Johor Darul Takzim (JDT) di Stadium Hang Jebat malam tadi namun keputusan itu dilihat sebagai satu petanda positif buat jurulatih dan penyokong pasukan.
Jurulatih pasukan MU, Eric Williams berkata beliau gembira dengan mutu persembahan yang dipamerkan oleh anak didiknya dan menyifatkan sebagai satu petanda baik apabila pemain mula menunjukan kesefahaman dalam pasukan.
"Biarpun kita hanya catat keputusan seri namun ia sesuatu yang baik kerana JDT bukanya calang-calang pasukan dan mereka mempunyai barisan pemain terbaik di negara ini," katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan Liga Super di Stadium Hang Jebat di sini malam tadi.
Selepas 12 perlawanan, MU hanya menang dua perlawanan dan seri lima untuk menghuni tangga kesembilan liga dengan 11 mata manakala JDT menungguli persada liga dengan 27 mata. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan