Isnin, 8 Mei 2017

Apa respon kita sebagai penyokong...

ERIC WILLIAMS MARAH DENGAN SIKAP MORA YANG MENINGGI DIRI

Baru sebentar tadi Goal memuatnaik temuramah mereka dengan Eric Williams yang merupakan pengendali Melaka United.
Pengendali Melaka United itu mengakui bertikam lidah dengan pengendali JDT, Benjamin Mora sebaik sahaja tamat perlawanan di antara Melaka dan JDT yang berakhir seri 1-1.
Eric Williams kecewa dengan sikap Mora yang seakan-akan tidak dapat menerima kenyataan pasukannya seri dengan pasukan Melaka walaupun JDT berada 6 mata di puncak liga berbanding pasukan Pahang.
Ia ibarat memandang rendah dan tidak menghormati pasukan lawan. Eric Williams berkata:
“Ada masanya anda harus menunjukkan sedikit sikap rendah diri (kemanusiaan) dalam diri anda. Dan terimalah hakikat yang anda tidak boleh menang setiap perlawanan.”
“Saya sangat kecewa dengan reaksi beliau (Mora).”
“Benjamin Mora harus sedar yang dia memiliki pasukan yang sangat baik, terbaik di Malaysia. Saya memberitahu hal yang sama selepas perlawanan.”
“Bukan sahaja pemain terbaik di JDTI malah dia turut memiliki pemain yang hebat di JDTII.”
“Apabila mereka menewaskan kami 7-0 hari itu, dia seakan-akan tiada masa untuk berjabat tangan dengan saya.”
“Tetapi hari ini, biarlah saya datang kepada dia dan dia menggenggam tangan saya seperti nak bergaduh.”
Namun yang menyakitkan hati Eric Williams adalah perkataan yang dikeluarkan Mora ketika mereka berjabat tangan. Mora berkata:
“Dan dia (Mora) berkata kepada saya, kami akan belasah awak semua 7-0 lagi selepas ini.”
“Saya membalas, adakah awak fikir awak jurulatih yang hebat ke kawan (mate)?”
“Saya cabar awak, datanglah melatih pasukan saya sekarang dan saya nak tengok betapa bagusnya awak.”
“Awak ada pemain yang terhebat di Malaysia dan saya rasa awak patut menang setiap minggu. Semoga berjaya untuk awak.”
“Itu antara ayat yang saya katakan kepada jurulatih yang harus memiliki sedikit rasa rendah diri di dalam dirinya.”
“Ia memang rasa senang apabila menang setiap minggu. Tetapi apabila anda kalah, anda harus berjuang dan berjuang. Anda harus memotivasikan pemain anda. Ia permainan bola yang berbeza.”
Eric Williams berbangga dengan pencapaian anak buah beliau yang mampu menyaingi pasukan terbaik seperti JDT.
Pemain-pemain Melaka fokus kepada tugasan mereka di dalam padang. Mereka belajar banyak perkara daripada perlawanan ini.
sumber: https://semuanyabola.com

Jumaat, 5 Mei 2017

Oh Malaysia, tanah tumpahnya darah ku...kesian

Fifa: Malaysia turun satu anak tangga
4 MEI 2017

MALAYSIA turun satu anak tangga kepada kedudukan 158 dunia dalam ranking terbaharu Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa).
Menurut laman web rasmi Fifa www.fifa.com, penurunan ranking skuad Harimau Malaya itu adalah disebabkan peningkatan tiga anak tangga oleh pasukan Mauritius yang kini menghuni tempat ke-157.
Kedudukan itu menjadikan Malaysia kekal dalam kelompok bersama Sudan (155), Papua New Guinea (156), Moldova (159), Singapura (160) dan Taiwan (161).
Iran kekal pasukan terbaik Asia dengan menduduki ranking ke-28 dunia diikuti Korea Selatan (43), Jepun (44) dan Australia (50).Sementara itu, tiada perubahan pada kelompok 20 pasukan teratas bulan ini dengan Brazil terus mendahului di depan negara jiran, Argentina, Jerman dan Chile.
Madagascar menjadi pasukan yang menunjukkan peningkatan paling besar bulan ini apabila naik sembilan tangga ke posisi 111 manakala Malawi merosot teruk iaitu turun 14 tangga kepada 114.
Ranking bulanan ini membabitkan 206 negara. - Bernama

Isnin, 1 Mei 2017

FAM ada strategi rahsia

YUSOFF  (dua dari kiri) menyampaikan ucapan pada Mesyuarat Agung Tahunan ke-62 PBMM di Kuala Lumpur.

Kuala Lumpur: Faktor Larkin mungkin menjadi penentu kejayaan skuad Harimau Malaya dalam kempen Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Asia 2019 apabila Stadium Tan Sri Hassan Yunos menjadi gelanggang rasmi untuk tiga perlawanan Kumpulan B.
Dalam saingan kelayakan itu, Malaysia akan mengharungi tiga perlawanan di tempat sendiri menentang Lubnan pada 13 Jun, Hong Kong (5 September) dan Korea Utara (14 November).
Sebelum ini, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memilih untuk menggunakan Stadium Shah Alam dan Stadium Nasional, Bukit Jalil bagi perlawanan di tempat sendiri bagaimanapun dengan mengambil kira faktor tertentu, stadium yang digunakan oleh kelab Johor Darul Ta’zim (Johor DT) menjadi pilihan.
Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, mereka ada strategi yang tidak boleh didedahkan apabila memilih Larkin sebagai gelanggang Harimau Malaya.
“Kami akan bermain pada perlawanan kedua kelayakan menentang Lubnan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada 13 Jun ini. Kami sudah menghantar surat kepada AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) kerana sebelum ini kami mahu menggunakan Stadium Shah Alam dan Stadium Nasional, Bukit Jalil bagi saingan kelayakan.
“Semua perlawanan di tempat sendiri Harimau Malaya bagi aksi kelayakan akan berlangsung di Larkin. Selain kemudahan yang baik, memang strategi kami dengan menggunakan stadium di Larkin tapi saya tidak boleh mendedahkannya,” katanya kepada pemberita pada sidang media Mesyuarat Agung Tahunan ke-62 Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia (PBMM) semalam.
Bagaimanapun perlawanan dengan Korea Utara pada 14 November di Larkin mungkin akan diadakan di gelanggang berkecuali andai perlawanan pertama 8 Jun ini di Pyongyang berlangsung di gelanggang berkecuali.
Larkin mungkin boleh memberi tuah kepada Harimau Malaya kerana kali terakhir mereka beraksi di sana pada aksi timbal balik playoff Piala Asia menentang Timor Leste Jun tahun lalu berakhir dengan kemenangan agregat 6-0.
Sementara itu, Hamidin turut yakin pelantikan jurulatih Harimau Malaya akan selesai dalam tempoh terdekat termasuk isu pelantikan penolong jurulatih Tan Cheng Hoe dari Kedah.
“Presiden (FAM) Tunku Ismail Sultan Ibrahim sedang mengadakan perbincangan dengan calon jurulatih Harimau Malaya, memang ada beberapa calon tapi saya tak boleh dedahkan. Kami juga sedang menyelesaikan masalah dengan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) mengenai kedudukan Tan Cheng Hoe.
“Itu mungkin (Cheng Hoe menjadi jurulatih sementara FAM melantik jurulatih Harimau Malaya) tapi perlawanan pertama adalah pada 8 Jun, saya percaya masih sempat,” katanya.
KFA sebelum ini mahu FAM memberikan sedikit masa untuk mencari pengganti Cheng Hoe yang menyerahkan surat peletakan jawatan kerana bersetuju menerima tawaran FAM.

Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 April 2017 @ 8:26 AM

'Elak jadi belasahan lagi'


PEMAIN Melaku perlu manfaatkan aksi laman sendiri ketika berdepan Johor DT.

Melaka: Pemain Melaka United (MU) dituntut beraksi habis-habisan berdepan Johor Darul Ta’zim (Johor DT) pada perlawanan pertama pusingan kedua Liga Super di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput Sabtu ini.
Paling penting tidak mengulangi aksi buruk tewas 0-7 kepada skuad Harimau Selatan di Larkin pada saingan pusingan pertama sehingga menjejaskan imej dan reputasi skuad bimbingan jurulatih Eric Williams.
Pengurus pasukan Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi berkata, pemain harus menebus kekalahan itu dengan mencipta kemenangan di gelanggang sendiri dan membuktikan kesilapan yang dilakukan di Johor Bahru tidak akan diulangi di depan penyokong sendiri.
Menurutnya, jika tidak mampu untuk menang sekurang-kurangnya keputusan seri amat memadai berdasarkan keupayaan dan keserasian serta persefahaman yang masih belum mencukupi seperti alasan Williams.
“Apa yang pasti saya mengharapkan terdapat perubahan drastik dalam persembahan pasukan sepanjang pusingan kedua bermula dengan pertemuan berdepan Johor DT yang pastinya menjadi saingan amat getir.
“Saya juga mengharapkan tempoh rehat ketika ini digunakan sebaik mungkin Williams membentuk pasukan berkualiti untuk meraih sebanyak mungkin mata dalam baki perlawanan. Justeru tujuh perlawanan di gelanggang sendiri sepanjang pusingan kedua seharusnya menjadi kelebihan skuad Hang Tuah memperbaiki kedudukan di carta liga,”katanya.
Pada pusingan pertama, MU hanya beraksi empat perlawanan di gelanggang sendiri disebabkan kerja-kerja menaiktaraf Stadium Hang Jebat berikutan itu aksi terpaksa dilangsungkan di gelanggang lawan.
Sehubungan itu venue sebagai tuan rumah sewajarnya meletakan MU bijak mengambil kesempatan terbaik buat pemain bangkit cemerlang.

Nazri Abu Bakar
sukan@hmetro.com.my 
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mei 2017 @ 10:01 AM


Thorbaek dari ladang...

Melaka United mula bangkit 7 MEI 2017 Pemain JDT Fazly Mazlan terjatuh selepas diasak oleh pemain Melaka Ahmad Khuzaimi pada perlawana...