Isnin, 1 Mei 2017

FAM ada strategi rahsia

YUSOFF  (dua dari kiri) menyampaikan ucapan pada Mesyuarat Agung Tahunan ke-62 PBMM di Kuala Lumpur.

Kuala Lumpur: Faktor Larkin mungkin menjadi penentu kejayaan skuad Harimau Malaya dalam kempen Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Asia 2019 apabila Stadium Tan Sri Hassan Yunos menjadi gelanggang rasmi untuk tiga perlawanan Kumpulan B.
Dalam saingan kelayakan itu, Malaysia akan mengharungi tiga perlawanan di tempat sendiri menentang Lubnan pada 13 Jun, Hong Kong (5 September) dan Korea Utara (14 November).
Sebelum ini, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memilih untuk menggunakan Stadium Shah Alam dan Stadium Nasional, Bukit Jalil bagi perlawanan di tempat sendiri bagaimanapun dengan mengambil kira faktor tertentu, stadium yang digunakan oleh kelab Johor Darul Ta’zim (Johor DT) menjadi pilihan.
Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, mereka ada strategi yang tidak boleh didedahkan apabila memilih Larkin sebagai gelanggang Harimau Malaya.
“Kami akan bermain pada perlawanan kedua kelayakan menentang Lubnan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada 13 Jun ini. Kami sudah menghantar surat kepada AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) kerana sebelum ini kami mahu menggunakan Stadium Shah Alam dan Stadium Nasional, Bukit Jalil bagi saingan kelayakan.
“Semua perlawanan di tempat sendiri Harimau Malaya bagi aksi kelayakan akan berlangsung di Larkin. Selain kemudahan yang baik, memang strategi kami dengan menggunakan stadium di Larkin tapi saya tidak boleh mendedahkannya,” katanya kepada pemberita pada sidang media Mesyuarat Agung Tahunan ke-62 Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia (PBMM) semalam.
Bagaimanapun perlawanan dengan Korea Utara pada 14 November di Larkin mungkin akan diadakan di gelanggang berkecuali andai perlawanan pertama 8 Jun ini di Pyongyang berlangsung di gelanggang berkecuali.
Larkin mungkin boleh memberi tuah kepada Harimau Malaya kerana kali terakhir mereka beraksi di sana pada aksi timbal balik playoff Piala Asia menentang Timor Leste Jun tahun lalu berakhir dengan kemenangan agregat 6-0.
Sementara itu, Hamidin turut yakin pelantikan jurulatih Harimau Malaya akan selesai dalam tempoh terdekat termasuk isu pelantikan penolong jurulatih Tan Cheng Hoe dari Kedah.
“Presiden (FAM) Tunku Ismail Sultan Ibrahim sedang mengadakan perbincangan dengan calon jurulatih Harimau Malaya, memang ada beberapa calon tapi saya tak boleh dedahkan. Kami juga sedang menyelesaikan masalah dengan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) mengenai kedudukan Tan Cheng Hoe.
“Itu mungkin (Cheng Hoe menjadi jurulatih sementara FAM melantik jurulatih Harimau Malaya) tapi perlawanan pertama adalah pada 8 Jun, saya percaya masih sempat,” katanya.
KFA sebelum ini mahu FAM memberikan sedikit masa untuk mencari pengganti Cheng Hoe yang menyerahkan surat peletakan jawatan kerana bersetuju menerima tawaran FAM.

Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 April 2017 @ 8:26 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Thorbaek dari ladang...

Melaka United mula bangkit 7 MEI 2017 Pemain JDT Fazly Mazlan terjatuh selepas diasak oleh pemain Melaka Ahmad Khuzaimi pada perlawana...